BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday 19 March 2013

Aktiviti 1: Arahan Rutin


Matlamat:
              i.        Melatih mereka agar sentiasa peka dengan arahan guru.
            ii.        Mendidik mereka supaya taat akan perintah guru.
           iii.        Memudahkan dan melancarkan urusan guru mengawal pergerakan murid.

Langkah:
            i.        Guru akan memperkenalkan simbol-simbol arahan bagi memudahkan dan melancarkan proses pembelajaran di dalam kelas.
     ii.        Contoh arahan: 1, 2, 3, zip! –apabila cikgu mengeluarkan arahan ini, murid akan menggerakkan jari mereka di bibir seolah-oleh menutup zip mulut mereka dan terus senyap.
          iii.        Contoh arahan: apabila guru meniup wisel sekali, murid akan memandang ke arah guru mereka dan fokus.
      iv.        Contoh arahan: Bom meletup! – apabila guru mengeluarkan arahan ini, murid akan cepat-cepat melekapkan pipi mereka di atas meja.

Sunday 17 March 2013

Konsep Suasana Pembelajaran


Suasana atau persekitaran memainkan peranan penting dalam membentuk sistem organisasi sesebuah masyarakat. Suasana mempengaruhi setiap tingkah laku atau perbuatan seseorang. Contohnya, seseorang yang melibatkan diri dalam suasana pekerjaan menjadikan perbuatan atau tindakan secara tidak langsung berkaitan dengan kerja-kerja pejabat atau sebagainya. Demikian pula halnya sama seperti suasana pembelajaran. Apabila seseorang memasuki suasana pembelajaran, ia membawa ke arah perkara yang berhubung dengan pengajaran dan pembelajaran. Organisasi masyarakat yang terlibat dalam suasana pembelajaran berbeza dengan sekumpulan yang menceburi bidang pekerjaan seperti perniagaan kerana sistem pembelajaran melibatkan orang yang menuntut ilmu (pelajar), tenaga pengajar (guru) dan tempat-tempat yang sesuai seperti sekolah, universiti. Namun demikian, skop perbincangan adalah pembelajaran pada peringkat persekolahan iaitu pendidikan primer.
Suasana pembelajaran merupakan satu perkara yang amat penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana suasana memainkan peranan yang sangat penting dalam menjamin pembelajaran yang kondusif. Jika kita lihat secara teliti, suasana pembelajaran dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu suasana pembelajaran postif dan suasana pembelajaran negatif.



Apakah yang dimaksudkan dengan suasana pembelajaran positif? Suasana pembelajaran positif dapat dilihat kesannya terhadap guru, murid dan P & P. Guru dapat menyampaikan sesi P & P dengan jayanya manakala murid  memahami isi pelajaran yang disampaikan. P & P yang terlaksana menjadi seronok dan tidak membebankan serta membosankan pelajar. Hal ini bermakna proses pembelajaran berjalan dengan lancar dimana guru mengajar tanpa sebarang gangguan dari murid dan murid belajar tanpa gangguan dari kelas. Dalam perkara ini, menurut model Canter menyatakan bahawa guru dan murid mempunyai hak dalam mendapatkan suasana pembelajaran. Hak yang dimaksudkan ialah guru dapat mengajar tanpa sebarang gangguan manakala murid dapat belajar dengan tenang tanpa sebarang gangguan dari persekitaran.

Berbeza pula dengan suasana pembelajaran negatif. Suasana pembelajaran negatif dapat difahami sebagai satu proses P & P yang mana kesannya tidak seperti yang dirancang sebelum pengajaran. Ini bermakna guru gagal mencapai objektif yang dirancang dan murid pula tidak dapat memahami isi pelajaran yang cuba disampaikan oleh guru. Kebiasaaanya, suasana pembelajaran negatif menggambarkan satu proses P & P yang membosankan pelajar dan menyebabkan pelajar hilang minat terhadap pelajaran yang disampaikan oleh guru. Akibatnya, pelajar akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya seperti bermain, membuat bising, menggangu rakan dan sebagainya. Dengan itu, pembelajaran akan menjadi hiruk pikuk dan tidak terkawal seterusnya mengganggu proses P &P tersebut.

Kata-kata hikmah pernah menyebut, “murid ibarat cawan kosong, guru yang memenuhi ruang kosong tersebut, semuanya bergantung kepada guru. Andai diisi dengan bekalan yang berguna, bergunalah murid. Andai diisi dengan sebaliknya, itulah hasilnya nanti”. Keterangan kata-kata ini bermaksud guru menjadi penggerak utama dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang bertaraf ilmiah dan memberi nilai-nilai kehidupan dalam diri murid-murid hasil suntikan ilmu pengetahuan yang berlandaskan kebenaran hakiki dan mencari pedoman dalam kehidupan. Ada yang mempersoalkan murid-murid pandai berasal daripada baka atau genetik yang baik. Sesetengah mengatakan murid yang cemerlang daripada bangsa cina kerana bangsa tersebut memiliki baka yang baik. Namun demikian, imam As-Syafie pernah menyebut, “Aku merantau ke seluruh tanah Arab untuk mencari ilmu, namun apabila aku sampai ke sesuatu tempat, aku bersama dengan suasana di sana”. Kisah imam As-Syafie, seorang ulama Fiqh yang terkenal pernah bersama dengan Imam Abu Hanifah, lalu beliau mengikut pendapat imam Abu Hanifah. Diketahui bahawa suasanalah yang mempengaruhi seseorang, tetapi bukanlah menolak pendapat yang mengatakan baka dan genetik semata-mata membawa kemajuan dalam diri murid-murid, namun suasana mampu meningkatkan kemajuan dalam diri murid-murid. Oleh itu, suasana sangat penting dalam mempengaruhi seseorang, contohnya orang yang berkawan dengan penjual minyak wangi akan berbau wangi namun orang yang berkawan dengan tukang besi akan dapat percikan baranya. Fahamkah kita, sesungguhnya, ramai yang mencari suasana atau terpengaruh dengan suasana, namun amat sedikit yang mempengaruhi suasana dan mengubah sesuatu suasana menjadi lebih baik dan terbaik. Fikirkah kita?.

Jika kita lihat dunia hari ini, saban hari kita mendengar kredebiliti guru semakin dipertikaikan yang didedahkan sama ada melalui media cetak mahupun media massa. Banyak peningkatan kes disiplin pelajar yang melibatkan guru seperti melawan arahan guru, tidak hormat guru dan yang paling terus sekali ada yang sanggup memukul guru. baru-baru ini di akhbar harian Metro pada bulan Mac memaparkan  peristiwa yang menyayat hati yang melibatkan insan yang bergelar guru dimana seorang pelajar telah mengugut dan memberi amaran yang keras kepada guru tersebut  kerana menegur pelajar tersebut membuat tatu. Jika kita mendengar peristiwa seperti ini saban hari, mungkin masyarakat kita sudah lali dan tidak memandang peristiwa tersebut sebagai satu tamparan hebat kepada insan yang bergelar guru. Namun sedarkah kita, dimanakah penghormatan yang patut diberikan kepada seseorang yang bergelar guru yang mana suatu ketika dahulu dipandang sebagai satu jawatan yang sangat mulia, namun hari ini sebagai satu pekerjaan yang mungkin tidak bernilai lagi. Sedarkah kita.?



Dunia sudah berubah, zaman celik IT menyusul, generasi Gadjet dan Y berbangga dengan kemajuan teknologi. Persoalannya mengapa suasana pembelajaran tidak menekankan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Di manakah silapnya? Apakah murid-murid telah digelapkan daripada menerobosi suasana yang memiliki budaya dan persekitaran peradaban yang tinggi. Tuntasnya, mereka hilang dalam merasai suasana kegemilangan tanah air, apatah lagi peradaban dan moraliti yang tinggi. Di manakah hilangnya suasana ini?. Tidakkah kita terbayang apa yang akan berlaku apabila badan utama dalam memberi suasana pembelajaran sepanjang hayat. Biasa kita dengar, murid berkata kami belajar untuk peperiksaan, bahkan menyedihkan lagi jawapan mereka, kami tidak tahu apa-apa yang kami pelajari. Nampakkah kita?. Sebenarnya kita kehilangan pewaris negara yang menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Puncanya bermula daripada suasana pembelajaran. Gurulah yang perlu menggalas tanggungjawab yang besar dalam menggembalikan suasana pembelajaran yang membawa kesan jangka panjang yang baik dalam kehidupan dan menjamin masa depan anak bangsa. Kesimpulannya, mampukah guru-guru memperbaiki suasana pembelajaran masa kini?. 

Wednesday 6 March 2013

Definisi Pengurusan Bilik Darjah


Richards (1990) mentafsirkan pengurusan bilik darjah sebagai organisasi dan kawalan guru ke atas tingkahlaku, pergerakkan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlansung supaya pengajaran dapat dijalankan dengan berkesan.

Menurut Alberto & Troutman (1986), pengurusan bilk darjah boleh didefinasikan sebagai kemahiran guru mengurus masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkahlaku murid dalam menyediakan suatu iklim yang sesuai untuk pembelajaran

Sanford J., Emmer E. & Clements B.), pengurusan bilik darjah perlu dilihat sebagai bidang yang lebih luas daripada kawalan bilik darjah dan peraturan. Hal ini termasuklah semua perkara yang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk menggalakkan penglibatan dan kerjasama dalam aktiviti bilik darjah serta membentuk persekitaran yang produktif.



Thursday 28 February 2013

Pendahuluan Pengurusan Bilik Darjah


Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan dan tanggung jawab. Seseorang guru akan diklasifikasikan sebagai tidak melaksanakan tugas sekiranya amanah ini diabaikan walaupun beliau merupakan seorang juara masyarakat yang paling komited di luar bilik darjah atau di luar sekolah. Seseorang itu tidak akan dikatakan sebagai pemain jika sekadar duduk di luar padang walaupun mempunyai kemahiran sebagai juara. Sehubungan dengan itu, bilik darjah perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang.



Pada asasnya, pengurusan bilik darjah merupakan kemahiran yang agak sukar dikuasai walaupun banyak teori dan teknik yang telah dipelajari oleh guru pelatih di universiti maupun di institut-institut perguruan. Sekiranya kemahiran ini dapat dikuasai dan dihayati oleh guru pelatih, proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Bilik darjah yang mempunyai pelajar-pelajar yang bertingkah laku baik menjadikan tugas pengajaran guru “one of the most wonderful jobs in the world” kerana setiap hari guru mengalami pelbagai pengalaman yang baru dan berbeza di bilik darjah.