BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday 28 February 2013

Pendahuluan Pengurusan Bilik Darjah


Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan dan tanggung jawab. Seseorang guru akan diklasifikasikan sebagai tidak melaksanakan tugas sekiranya amanah ini diabaikan walaupun beliau merupakan seorang juara masyarakat yang paling komited di luar bilik darjah atau di luar sekolah. Seseorang itu tidak akan dikatakan sebagai pemain jika sekadar duduk di luar padang walaupun mempunyai kemahiran sebagai juara. Sehubungan dengan itu, bilik darjah perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang.



Pada asasnya, pengurusan bilik darjah merupakan kemahiran yang agak sukar dikuasai walaupun banyak teori dan teknik yang telah dipelajari oleh guru pelatih di universiti maupun di institut-institut perguruan. Sekiranya kemahiran ini dapat dikuasai dan dihayati oleh guru pelatih, proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Bilik darjah yang mempunyai pelajar-pelajar yang bertingkah laku baik menjadikan tugas pengajaran guru “one of the most wonderful jobs in the world” kerana setiap hari guru mengalami pelbagai pengalaman yang baru dan berbeza di bilik darjah.