Suasana atau
persekitaran memainkan peranan penting dalam membentuk sistem organisasi
sesebuah masyarakat. Suasana mempengaruhi setiap tingkah laku atau perbuatan
seseorang. Contohnya, seseorang yang melibatkan diri dalam suasana pekerjaan
menjadikan perbuatan atau tindakan secara tidak langsung berkaitan dengan
kerja-kerja pejabat atau sebagainya. Demikian pula halnya sama seperti suasana
pembelajaran. Apabila seseorang memasuki suasana pembelajaran, ia membawa ke arah
perkara yang berhubung dengan pengajaran dan pembelajaran. Organisasi
masyarakat yang terlibat dalam suasana pembelajaran berbeza dengan sekumpulan
yang menceburi bidang pekerjaan seperti perniagaan kerana sistem pembelajaran
melibatkan orang yang menuntut ilmu (pelajar), tenaga pengajar (guru) dan
tempat-tempat yang sesuai seperti sekolah, universiti. Namun demikian, skop
perbincangan adalah pembelajaran pada peringkat persekolahan iaitu pendidikan
primer.
Suasana
pembelajaran merupakan satu perkara yang amat penting dalam pengajaran dan
pembelajaran. Ini kerana suasana memainkan peranan yang sangat penting dalam
menjamin pembelajaran yang kondusif. Jika kita lihat secara teliti, suasana
pembelajaran dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu suasana pembelajaran
postif dan suasana pembelajaran negatif.

Apakah yang
dimaksudkan dengan suasana pembelajaran positif? Suasana pembelajaran positif
dapat dilihat kesannya terhadap guru, murid dan P & P. Guru dapat
menyampaikan sesi P & P dengan jayanya manakala murid memahami isi pelajaran yang disampaikan. P
& P yang terlaksana menjadi seronok dan tidak membebankan serta membosankan
pelajar. Hal ini bermakna proses pembelajaran berjalan dengan lancar dimana
guru mengajar tanpa sebarang gangguan dari murid dan murid belajar tanpa
gangguan dari kelas. Dalam perkara ini, menurut model Canter menyatakan bahawa
guru dan murid mempunyai hak dalam mendapatkan suasana pembelajaran. Hak yang
dimaksudkan ialah guru dapat mengajar tanpa sebarang gangguan manakala murid dapat
belajar dengan tenang tanpa sebarang gangguan dari persekitaran.
Berbeza pula
dengan suasana pembelajaran negatif. Suasana pembelajaran negatif dapat
difahami sebagai satu proses P & P yang mana kesannya tidak seperti yang
dirancang sebelum pengajaran. Ini bermakna guru gagal mencapai objektif yang
dirancang dan murid pula tidak dapat memahami isi pelajaran yang cuba
disampaikan oleh guru. Kebiasaaanya, suasana pembelajaran negatif menggambarkan
satu proses P & P yang membosankan pelajar dan menyebabkan pelajar hilang
minat terhadap pelajaran yang disampaikan oleh guru. Akibatnya, pelajar akan
melakukan perkara yang tidak sepatutnya seperti bermain, membuat bising,
menggangu rakan dan sebagainya. Dengan itu, pembelajaran akan menjadi hiruk
pikuk dan tidak terkawal seterusnya mengganggu proses P &P tersebut.
Kata-kata
hikmah pernah menyebut, “murid ibarat cawan kosong, guru yang memenuhi ruang
kosong tersebut, semuanya bergantung kepada guru. Andai diisi dengan bekalan
yang berguna, bergunalah murid. Andai diisi dengan sebaliknya, itulah hasilnya
nanti”. Keterangan kata-kata ini bermaksud guru menjadi penggerak utama dalam
mewujudkan suasana pembelajaran yang bertaraf ilmiah dan memberi nilai-nilai
kehidupan dalam diri murid-murid hasil suntikan ilmu pengetahuan yang
berlandaskan kebenaran hakiki dan mencari pedoman dalam kehidupan. Ada yang
mempersoalkan murid-murid pandai berasal daripada baka atau genetik yang baik.
Sesetengah mengatakan murid yang cemerlang daripada bangsa cina kerana bangsa
tersebut memiliki baka yang baik. Namun demikian, imam As-Syafie pernah
menyebut, “Aku merantau ke seluruh tanah Arab untuk mencari ilmu, namun apabila
aku sampai ke sesuatu tempat, aku bersama dengan suasana di sana”. Kisah imam
As-Syafie, seorang ulama Fiqh yang terkenal pernah bersama dengan Imam Abu
Hanifah, lalu beliau mengikut pendapat imam Abu Hanifah. Diketahui bahawa
suasanalah yang mempengaruhi seseorang, tetapi bukanlah menolak pendapat yang
mengatakan baka dan genetik semata-mata membawa kemajuan dalam diri murid-murid,
namun suasana mampu meningkatkan kemajuan dalam diri murid-murid. Oleh itu,
suasana sangat penting dalam mempengaruhi seseorang, contohnya orang yang
berkawan dengan penjual minyak wangi akan berbau wangi namun orang yang
berkawan dengan tukang besi akan dapat percikan baranya. Fahamkah kita,
sesungguhnya, ramai yang mencari suasana atau terpengaruh dengan suasana, namun
amat sedikit yang mempengaruhi suasana dan mengubah sesuatu suasana menjadi
lebih baik dan terbaik. Fikirkah kita?.
Jika kita
lihat dunia hari ini, saban hari kita mendengar kredebiliti guru semakin
dipertikaikan yang didedahkan sama ada melalui media cetak mahupun media massa.
Banyak peningkatan kes disiplin pelajar yang melibatkan guru seperti melawan
arahan guru, tidak hormat guru dan yang paling terus sekali ada yang sanggup
memukul guru. baru-baru ini di akhbar harian Metro pada bulan Mac
memaparkan peristiwa yang menyayat hati
yang melibatkan insan yang bergelar guru dimana seorang pelajar telah mengugut
dan memberi amaran yang keras kepada guru tersebut kerana menegur pelajar tersebut membuat tatu.
Jika kita mendengar peristiwa seperti ini saban hari, mungkin masyarakat kita
sudah lali dan tidak memandang peristiwa tersebut sebagai satu tamparan hebat
kepada insan yang bergelar guru. Namun sedarkah kita, dimanakah penghormatan
yang patut diberikan kepada seseorang yang bergelar guru yang mana suatu ketika
dahulu dipandang sebagai satu jawatan yang sangat mulia, namun hari ini sebagai
satu pekerjaan yang mungkin tidak bernilai lagi. Sedarkah kita.?

Dunia sudah
berubah, zaman celik IT menyusul, generasi Gadjet dan Y berbangga dengan
kemajuan teknologi. Persoalannya mengapa suasana pembelajaran tidak menekankan
nilai-nilai murni dalam kehidupan. Di manakah silapnya? Apakah murid-murid
telah digelapkan daripada menerobosi suasana yang memiliki budaya dan
persekitaran peradaban yang tinggi. Tuntasnya, mereka hilang dalam merasai
suasana kegemilangan tanah air, apatah lagi peradaban dan moraliti yang tinggi.
Di manakah hilangnya suasana ini?. Tidakkah kita terbayang apa yang akan
berlaku apabila badan utama dalam memberi suasana pembelajaran sepanjang hayat.
Biasa kita dengar, murid berkata kami belajar untuk peperiksaan, bahkan
menyedihkan lagi jawapan mereka, kami tidak tahu apa-apa yang kami pelajari.
Nampakkah kita?. Sebenarnya kita kehilangan pewaris negara yang menghayati dan
mengamalkan ilmu yang dipelajari. Puncanya bermula daripada suasana
pembelajaran. Gurulah yang perlu menggalas tanggungjawab yang besar dalam
menggembalikan suasana pembelajaran yang membawa kesan jangka panjang yang baik
dalam kehidupan dan menjamin masa depan anak bangsa. Kesimpulannya, mampukah
guru-guru memperbaiki suasana pembelajaran masa kini?.